03 November 2009

"Kita mestilah boleh dikritik, sebab kita ahli politik, kita bukan botol plastik" - Ust Idris Ahmad

1 November 2009 Pongsu Seribu, " Kita mestilah boleh dikritik, sebab kita ahli politik, kita bukan botol plastik". Itulah buah yang berbisa dilontarkan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat Y.Bhg Ust Idris Hj Ahmad ketika beliau membentangkan kertas kerja dalam program Ijtimak GERAK 01 anjuran Lajnah Tarbiyah & Latihan Perkaderan (LTP) Badan Perhubungan PAS Negeri P.Pinang baru-baru ini.

Ust Idris Ahmad membentangkan kertas kerjanya 'Usrah & Kepentingannya' turut mengingatkan kepada semua peserta bahawa tarbiyah adalah tunjang utama sesebuah gerakan Islam dan Usrah adalah nadinya.

Beliau turut menjelaskan bahawa ahli PAS yang terdiri dari berbagai latar-belakang dan fikrah hendaklah bersedia untuk mengikuti acuan tarbiyah yang telah disediakan oleh PAS dan meneruskan kelangsungan tarbiyah tersebut dalam segenap aspek jemaah.

Pembentangan yang memakan masa selama 2 jam setengah itu sangat mendapat respon yang menggalakkan apabila hampir 15 orang peserta bertanyakan pelbagai soalan. Isu berkaitan EGM dan kebijaksanaan pemimpin PAS menghadapi media adalah antara soalan 'panas' yang diajukan bertubi-tubi. Kesemua soalan tersebut dijawab oleh beliau dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Hasil dari semangat spontan yang ditunjukkan oleh hampir 200 orang peserta, sebanyak RM 572.00 berjaya dikumpul hasil dari derma kilat yang dilancarkan untuk mengisi tabung dana program LTP.

Program yang julung-julung kali diadakan itu diakhiri dengan solat hajat yang diimamkan oleh Ust Fauzi Yusof selaku Timb. Pengerusi Lajnah Tarbiyah BPPNPP, memohon kepada Allah agar diselamatkan dari ujian getir yang melanda jamaah ketika ini.

Peserta yang hadir sedang tekun mendengar pembentangan Ust Idris Ahmad

Peserta muslimat turut memberi komitmen kehadiran yang luar jangka.

Serius & tegas. Itulah gaya Ust Idris ketika menekankan pentingnya usrah dijalankan diperingkat ahli walaupun hanya sekadar 'Majlis Baca Yasin'.

"Sekali lagi hangpa panggil aku mai, aku nak tengok usrah di tempat hangpa berjalan". Itulah 'amaran' tarbiyah yang diberikan Ust Idris untuk kami bawa pulang ke kawasan masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Slot muhasabah