11 February 2010

AKADEMI KEPIMPINAN PEMUDA - Training of Trainers.

7 Feb 2010, Hotel Quality, Shah Alam. Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP) Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengadakan Kursus Modul Amilin (Training of Trainers) kepada fasilitator-fasilitator AKP mewakili DPPN masing-masing pada 7 Feb 2010 (Ahad) yang lalu bertempat di Hotel Quality, Shah Alam, Selangor.

Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang telah diwakili oleh Sdr. Helmi Harun, Ust Afnan Hamimi Taib Azamudden & Sdr Khusairi Abd Rahim.

Program sehari suntuk yang bermula seawal jam 9 pagi itu telah dihidangkan dengan pembentangan 3 kertas kerja penting Modul Amilin yang disampaikan oleh jurulatih (trainer) yang berpengalaman luas dalam bidang motivasi & kepemudaan.

Modul tersebut terdiri dari:-
1. Modul Advance Management yang disampaikan oleh Ust Zaidy,
2. Modul Komitmen & Iltizam yang disampaikan oleh Sdr Fadzly,
3. Modul Influence (Kepimpinan Berpengaruh) yang dismpaikan oleh Sdr Amin Idris.

Diawal program, Sdr Ahmad Sabki Yusof telah menggariskan beberapa perkara penting dalam ucapan aluannya sebagai Pengarah AKP Pusat. Antara isi ucapannya:-

1. Tujuan AKP diasaskan / ditubuhkan:-
a. Pengukuhan Organisasi Pemuda
b. Pengukuhan Keupayaan Tenaga Kerja Parti
c. Pengukuhan Kewangan

2. Program AKP ini mesti dirasai oleh semua Pemuda PAS setiap peringkat.

3. Kita (kepimpinan pemuda) bertanggungjawab memberi latihan kepada pemuda.

4. Pengisian AKP mesti menyentuh keperluan / kekurangan dalam parti/jamaah.

5. AKP turut bertanggungjawab menyediakan latihan kepada bakal-bakal pemimpin pelapis termasuk diperingkat kampus.

6. Modul AKP terbahagi kepada 2 bahagian:-
a. MODUL AMILIN
Untuk mengatasi masalah
1) komitmen pemuda,
2) kerja yang tidak berkesan,
3) ketrampilan pemuda.

b. MODUL INDUKSI
Modul yang disediakan khusus untuk kepimpinan pemuda peringkat kawasan & cawangan dalam bentuk 'Self Conduct Training'.

7. Modul AKP ini adalah 'Tailor Made' - 'dijahit' khusus untuk Pemuda PAS.

Kesemua 30 orang peserta yang menghadiri kursus ini akan diuji ilmu & pengalaman mereka apabila diamanahkan sebagai fasilitator Kursus AKP yang akan datang pada 26, 27, 28 Februari 2010 ini.


Bakal fasilitator dari Pahang, (dari kiri) Ust Roslan & Ust Wan Azlan. Kedua-dua mereka ini sekumpulan dengan Ust Afnan dalam kursus ini. (Gambar: Ust Roslan sebelum 'sebak').

Suasana dalam bilik kursus Hotel Quality, Shah Alam. Sejuk, nyaman, penuh 'ghairah', dan kadang-kala diselubungi mengantuk...:-)

Sdr Ahmad Sabki Yusof sedang menanyakan maklum-balas peserta terhadap pengisian yang diberikan. Beliau amat mengalu-alukan pandangan/komen peserta bagi penambahbaikan modul & bentuk pembentangan.

Inilah wajah-wajah bakal fasilitator yang akan membantu menjayakan Kursus AKP Pusat pada 26-28 Feb 2010 nanti.

Yang ni pulak wajah-wajah ceria mereka yang telah digalaskan beban untuk menjalankan latihan AKP peringkat negeri Pulau Pinang nanti. Walaupun rasa terbeban & letih, mereka masih mampu mengukir senyuman yang paling berpengaruh seumur hidup mereka. Nak tahu teknik & rahsia senyuman mereka? Kita jumpa di Kursus AKP Pusat 26-28 Feb ini di Kuala Lumpur. Jumpa di saaaanaaa.....

MESYUARAT MALAM INI DITANGGUHKAN.

Assalamua'laikum WBT.

Untuk makluman sahabat-sahabat yang peka sekalian, mesyt Jab. Tarbiah & Latihan Kepimpinan (JTLK) yang dijadualkan pada malam ini 11.02.2010 Khamis adalah DITANGGUHKAN ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Segala kesulitan amat dikesali.

Harap maklum, terima kasih.

MOHD RADUAN RAMLI
Pengarah Jabatan Tarbiah & Latihan Kepimpinan
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang

09 February 2010

Jaulah ke Balik Pulau : Koleksi Gambar

Bergambar beramai-ramai setelah selesai usrah.
Sdr Naim (tengah), antara tulang belakang DPPK Balik Pulau. Beliau yang masih bujang juga merupakan pengedar HPA, agen TM Net, & juga juruteknik komputer secara sambilan. Sehingga artikel ini diterbitkan, dipercayai beliau masih belum menjumpai calon yang sesuai untuk menjadi pasangan hidupnya.

Ust Borhan, Timb. Ketua DPPK Balik Pulau. Difahamkan, beliau turut memegang beberapa jawatan lain dalam masyarakat termasuk Imam, JKKK dll. Elaunnya sahaja boleh mencecah lebih kurang 9ribu sebulan (imaginasi beliau sahaja, tidak ada kaitan dengan yang hidup @ mati).

Biskut cicah kopi O, makanan kegemaran Ust Raduan. Disisi beliau, Ust Muhammad Fauzi Yusof, YDP PAS Kawasan Balik Pulau yang juga merupakan Bendahari PAS P.Pinang.

Gaya seorang Tok Imam sedang bersyarah. Hebat..hebat...

04 February 2010

Jelajah Jom Usrah ke Balik Pulau.

Jabatan Tarbiah & Latihan Kepimpinan (JTLK) DPPNPP telah mengadakan Jaulah Jom Usrah ke DPPK Balik Pulau. Usrah yang diadakan pada 3 Feb 2010 Rabu bermula jam 9.54mlm bertempat di PASTI Kg Perlis itu dihadiri oleh 14 orang ahli termasuk beberapa orang AJK Pemuda Cawangan Kg. Perlis serta Ust Raduan & Ust Afnan yang mewakili JTLK.

Perbincangan teks usrah yang dipimpin sendiri oleh Y.Bhg Ust Muhammad Fauzi Yusoff (YDP PAS Kawasan B.Pulau) bertajuk "Bertawakkal & Bergantung Kepada Selain Allah" itu mendapat lontaran & kupasan yang sangat menggalakkan dari semua ahli usrah & menunjukkan kematangan mereka berjamaah walaupun sebahagian besar mereka tidak berkesempatan mengikuti Mukhayyam Tarbawi Pemuda yang dianjurkan baru-baru ini.

Diakhir perbincangan, Ust Fauzi menyimpulkan bahawa betapa teramat perlu & pentingnya kita sebagai amilin untuk meletakkan sepenuhnya pergantungan kepada Allah dalam setiap gerak kerja & program-program yang dijalankan disamping penyusunan perancangan yang sistematik & tersusun.

Beliau juga turut menyarankan agar kita kembali seperti amalan orang-orang PAS dahulu, mengadakan solat hajat setiap kali sebelum program.

"Kalau kita perhati orang dulu-dulu, depa setiap kali nak buat program, mesti buat solat hajat minta Allah permudahkan. Pergantungan depa pada Allah masa tu sangat tinggi, berbeza dengan kita lani". - Ust Muhammad Fauzi Yusoff.

Ust Fauzi sedang mengendalikan usrah.

Ust Nasri (kiri sekali) selaku Pengerusi Lajnah Tarbiah DPPK Balik Pulau menjadi tonggak utama penggerak usrah peringkat kawasan dan cawangan2. Walaupun mempunyai jadual aktiviti & kerja yang terlalu padat, beliau tetap boleh meluangkan masa untuk kerja tarbiah.

Dari kanan, Ust Raduan, Ust Borhan (Timb. Ketua Pemuda DPPK Balik Pulau), Ust Yaser & Sdr Rosmaini.



Dari kanan: Sdr. Sharizam, Ust Fauzi, Sdr Fahmi (orang kuat DACS) & Sdr Rashid.

Kelihatan Sdr Naim (kanan sekali) & Ust Nasri sedang mendengar dengan khusyu' taklimat yang diberikan oleh Ust Borhan (Timb. Ketua DPPK Balik Pulau).

"Kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah" - Ust Dato' Tuan Ibrahim.


BILAMANA UMNO TIDAK MENYERANG PAS...
RABU, 03 FEBRUARI 2010 18 SAFAR 1431H
tuanibrahim.blogspot.com

Berada di kerusi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti bukanlah sesuatu tempat yang mudah dan selesa. Ia adalah tempat yang akan menerima pelbagai kecaman dan kritikan, dan di waktu yang sama saya tidak boleh membela diri kerana sebarang jawapan kepada kritikan berhubung keputusan JK Disiplin, akan mendedahkan beberapa maklumat sulit parti, yang tidak perlu diketahui oleh umum.

Sewaktu saya ditawarkan jawatan ini, saya merayu beberapa kali agar melantik orang lain, bukan untuk lari dari amanah, tetapi ianya tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya tidak suka menghukum orang, apa lagi untuk menjatuhkan hukuman ke atas sahabat satu jamaah. Bahkan saya sangat bersetuju suatu pindaan Perlembagaan parti perlu dibuat agar Pengerusi JK Disiplin tidak diambil dari kalangan AJK Pusat; kerana ia akan dilihat ‘tidak adil’ terutama bila mana kita terpaksa membicarakan AJK sendiri atau pemegang jawatan parti. Undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu dilihat adil. Mungkin satu masa yang terdekat perkara itu akan dipinda, dan itulah harapan saya. Bukan untuk lari dari amanah, tetapi untuk kebaikan parti yang terus berkembang dan akan pasti berhadapan dengan lebih banyak karenah dalaman.

Bila mana saya dihadapkan dengan kes membabitkan dua tokoh di Selangor, Dato’ Dr Hassan Ali dan YB Khalid Samad, kedua-duanya adalah sahabat baik yang semua orang tahu. Saya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Khalid Samad, bahkan kalau ke Shah Alam, Markas PAS Seksyen 18 adalah tempat penginapan saya. Di situlah saya berehat dan tidur selepas program di Shah Alam, dan Khalid Samad antara orang terawal saya hubungi, memaklumkan bahawa saya masuk kawasan jajahan takluknya, sebagai Ahli Parlimen. Biasa kami akan berjumpa, minum-minum dan berbual. Bahkan selepas hukuman dijatuhkan kepada beliau saya menghubunginya di luar negara, memaklumkan keputusan, dan memohon keampunan Allah kalau saya tersilap dalam membuat keputusan kepada sahabat sendiri.

Tapi apakan daya, hukuman dan keputusan terpaksa dijatuhkan. Hanya saya rasa kurang terbeban bila mana keputusan dibuat dengan sebulat suara oleh semua Ahli JK Disiplin. Di kalangan kami ada bekas hakim dan peguam veteran PAS, Dato’ Abd Mutalib Embong dan Tuan Guru Hj Osman, seorang ulamak terkenal yang pernah menuntut di Makkah al-Mukarramah dalam bidang syariah.

Saya memaklumkan kepada YB Khalid Samad, agar menggunakan peruntukan perlembagaan untuk membuat rayuan kepada JK Pusat dan Syura, sekiranya beliau rasa hukuman tidak berpatutan. Saya masih ingat kata-kata beliau sebelum beliau ke luar negara, dalam pertemuan sewaktu membincangkan isu kalimah Allah, beliau berkata: “Kalau ana bersalah, hukumlah, jangan anta rasa berat pulak.” Saya menjawab : “ InsyaAllah, semoga Allah memudahkan urusan ini.” Beliau menyatakan dengan keputusan ini beliau sukar untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan –cawangan yang telah membuat jemputan, tetapi beliau boleh hadir atas sifat sebagai Ahli Parlimen, dan aktiviti beliau boleh berjalan macam biasa.

Saya teringat bila mana Umar al-Khattab melucutkan jawatan Khalid al-Walid (bukan menggantungnya) sedangkan Khalid tidak melakukan apa-apa kesalahan. Khalid terus berjuang sehingga penyokong hairan dengan tindakannya. Mereka bertanya: “Kenapa kamu tidak nampak apa-apa perubahan?” Beliau menjawab: “Aku bukan berperang kerana jawatanku, tetapi kerana Allah!” Bahkan beliau terus mengemukakan cadangan kepada panglima baru bila mana melihat tentera Islam hampir kalah. Inilah semangat Khalid al-Walid. Saya yakin kita perlu mencontohinya.

Kami tidak ada agenda untuk menjatuhkan seseorang atau menaikkan seseorang. Hukuman berdasarkan fakta yang ada di hadapan kami adalah hasil soal siasat dan penghujahan yang lama dan panjang, semata-mata untuk memberi keadilan kepada tertuduh. Kami tidak boleh mengikut kehendak orang ramai yang hanya berdasarkan andaian, bukan fakta siasatan. Saya yakin pengumuman keputusan akan menjadi tajuk utama berita, kerana media perdana telah memainkan isu ini beberapa waktu sebelumnya dengan pelbagai andaian hukuman. Mereka telah berjaya membawa pemikiran massa kepada satu hukuman jangkaan yang mereka ada agenda tersendiri.

Selepas keputusan diumumkan saya menjangka UMNO akan memainkan isu ini bagi melemahkan pengaruh PAS, khususnya di Selangor. Ternyata andaian saya meleset. UMNO tidak menyerang sebaliknya saya diserang oleh ahli PAS dan rakan-rakan sendiri, yang hadir dalam mesyuarat bersama dan sering berjumpa sama. Kenapa mereka tidak datang jumpa dan bincang terus, kenapa perlu menggunakan media untuk menyerang JK Disiplin yang ditubuh oleh parti dan mempunyai hak dan kelayakan dalam perlembagaan parti? Apa untung bagi parti dengan tindakan tersebut?

Saya sebenarnya cuba untuk menjawab tohmahan itu, tetapi sebarang jawapan hanya akan menimbulkan polimik yang lebih besar dan berpanjangan. Tambahan pula ada beberapa fakta yang ditemui tidak sesuai jadi tatapan umum. Cuma saya bertanya sendirian, kenapa UMNO tidak mengambil kesempatan menyerang sedangkan mereka telah membentuk pemikiran massa ke arah itu. Bahkan yang hebat menyerang adalah ahli PAS atau penyokong PAS. Mungkin kerana simpati terhadap Khalid Samad, atau geram dengan Hassan Ali.

Komentar dari Abdullah Karim saya anggap melampau dan saya difahamkan Dewan Pemuda Pusat akan melakukan sesuatu, dan Pejabat Agong juga akan bertindak. Beliau sebenarnya telah menghantar surat memaklumkan akan mengikuti isteri ke luar negara dalam tempoh yang panjang, dan sehubungan itu beliau melepaskan semua jawatan dalaman parti dan jawatan di peringkat negeri Pahang. Mesyuarat telahpun menerima permohonan beliau. Sayangnya saat-saat akhir sebelum beliau ke luar negara, kesempatan diambil untuk menyerang JK Disiplin Parti. Kritik kemudiannya tinggal.

Saya dukacita kerana beliau seorang peguam, yang memahami prosedur hukuman dan siasatan. Kita tidak boleh menghukum berdasarkan andaian dan kehendak massa. Hukuman mestilah berdasarkan fakta yang kita temui dalam siasatan. Seandainya ada fakta yang terselindung atau yang tidak dikemukan sebagai bahan kes, maka kita tidak boleh mengambilnya sebagai alasan penghakiman. Memang saya akui bahawa beliau ada menghantar satu laporan kepada JK Disiplin, tetapi saya telah maklumkan prosedur bahawa dia kena hantar kepada SU Agong untuk dibuat penilitian, kesahihan penama-penama yang disebut, apakah ia benar ahli PAS atau bukan, sejauh mana ada kes yang boleh dirujuk kepada JK Disiplin atau kes hanya melibatkan urusan pentadbiran parti.

JK Disiplin adalah hakim, bukan badan untuk menyiasat. Takkan beliau tak faham, semua parti politik mempunyai mekanisma yang sama. Bahkan dalam prosedur perundangan biasa pun, mana ada seorang yang dituduh terus diheret di hadapan hakim untuk bicara. Pihak polislah perlu menyiasat, mencari bukti dan menentukan apakah ada kes sebagaimana yang dituduh atau tiada kes. Aduan yang dia buat hanya berupa ‘hear say’, dan dia juga faham dan sudah diberi tahu bahawa aduan beliau tidak boleh diambil tindakan, hanya dengar cakap, tiada bukti. Untuk memanggil orang yang berkenaan dalam pertuduhan beliau, penama tersebut bukan ahli PAS. Kita tiada kuasa memanggil bukan ahli dan apa jaminan ianya tidak bertindak merosakkan nama baik parti sekiranya dipanggil. Ini JK Disiplin parti, untuk menjaga ahli agar tidak melakukan tindakan merosakkan nama baik parti, dan bertindak di luar perlembagaan parti.

Apa yang mendukacitakan saya ialah saya telah jelaskan bahawa inilah prosedur laporan disiplin parti, yang telah diamalkan sejak awal penubuhan parti lagi, dan beliau memahaminya dan menerimanya pada waktu itu. Tetapi kenapa tiba-tiba dia sanggup mengeluarkan kanyataan menyerang prosedur tersebut. Soal dia tidak berpuas hati dengan hukuman ke atas tertuduh, saya pelik bukan dia yang kena tuduh. Bahkan kalau kita baca tulisan YB Khalid sendiri dia rasa puas hati bilamana segala dakwaan beliau terhadap Hassan Ali dibuktikan benar oleh JK Disiplin, sehingga Hassan Ali didapati bersalah dan dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang merugikan PR dan parti. Yang kena hukum berpuas hati, yang tak ada kena mengena pulak tak puas hati.

Sebagai pimpinan kita sepatutnya menyalurkan komentar melalui saluran parti dan memelihara adab dalam jamaah. Semua harus fikir apakah tindakan yang kita lakukan itu menguntungkan parti atau sebaliknya, kerana kenyataan kita bukan keputusan perbicaraan, yang terpaksa berdasarkan fakta dan bahan yang ada di hadapan kita.

Kepada Allah saya memohon ampun andainya tindakan yang diambil tidak tepat dengan apa yang sepatutnya; dan semoga Allah tidak membebankan saya dengan bebanan yang lebih berat di akhirat. Ingatlah, kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah.

26 January 2010

JELAJAH JOM USRAH

(Gambar : Walaupun anaknya 6org, ada motor buruk, x ada kerja tetap, tidak menjadi halangan untuk dia pi usrah. Isterinya xdak dalam gambar sbb tgh berpantang anak ke-7!)


'Skuad Jelajah Jom Usrah' akan memulakan jelajahnya ke Kawasan Balik Pulau mengikuti usrah Dewan Pemuda PAS Kawasan Balik Pulau pada 3 Feb 2010 (Rabu) nanti.

Tujuan jelajah ini diadakan adalah bagi melihat sendiri perjalanan usrah peringkat DPPK serta berkongsi sebarang maklumat & permasalahan yang ada.

Nantikan kemunculan Skuad Jelajah Jom Usrah ini di Balik Pulau. JUMPA DISAANAAA...

25 January 2010

KISAH 'RAMPASAN KUASA' DALAM MUKHAYYAM

'Puak Pemberontak' sedang melakukan latihan sebelum memulakan pemberontakan.
Orang Kena Tawan (OKT) yang pertama; Ust Afnan. 4 lawan 1, tak aci.

Yang ni lagi teruk, 7 lawan 3. OKT: Ust Mat Taliban, Ust Iimran & Ust Shafirol.


Ketua Pemberontak (Ust Yusni) membuat ucapan pertama setelah berjaya mengetuai rampasan kuasa.


Ust Afnan sedang 'dikawal' oleh Unit Tindakan Khas (UTK)


Timb. Ketua Pemberontak (Sdr Usman Jaafar al-dua-i) sedang mengawasi tindak-tanduk OKT. Turut kelihatan, Mr Sub-Shooter dengan megahnya sedang mengibarkan bendera tanda menang.

Aik? Kena tangkap pun boleh senyum lagi? Hebat...hebat.. Tapi Ust Iimran mmg kontrol macho.

Ust Shafirol sedang melakukan jampi-serapah & akan menyeburkan air liur pada bila-bila masa utk 'pukau' semua pemberontak. Tetapi, sehingga artikel ini ditulis, tiada seorangpun yang berjaya dipukaunya.

Akibat cubaannya utk memukau tadi, Ust Shafirol telah dikasari apabila puak pemberontak telah merebahkan beliau serta mengikat kaki, tangan & matanya. Keadaan semakin getir...

Beberapa ahli pemberontak yg lain turut dikerah utk mengawal Ust Shafirol.

Kelihatan 'Tok Batin' sedang membaca jampi serapahnya dengan harapan supaya Ust Afnan tertidur.


Sedang bertawakkal kepada Yang Esa..

Laa... dok kibar bendera tak habih lagi? Mmg syok sungguh depa bila boleh 'tawan' urusetia..

Serban yg dipakai Ust Shafirol telah tertanggal dipercayai akibat dikasari oleh Sdr Asri.


Sapa lagi besaq? Ust Afnan ka Tok Batin?


Nasib baik Allah campak perasaan perikemanusiaan kepada puak pemberontak ni, siap tolong suap ayaq pulak tu...

"Hangpa semua ni tak paham ka makna wala'? Ana kata dalam mukhayyam ni kena wala' pada urusetia sahaja, bukannya Ketua Pemuda!!!" Ust iimran sedang meluahkan rasa tidak puas hatinya setelah 'dibebaskan' dari tawanan puak pemberontak tadi.

Ianya menimbulkan perasaan tidak senang dari kalangan beberapa orang peserta sehingga menyebabkan mereka berdiri utk melakukan serbuan yang kedua.

Inilah rupanya Ust iimran, satu-satunya ustaz dalam dunia yang mengajaq sekolah cina.

Setelah melihat ramai peserta tidak puas hati dengan beliau, Ust Iimran menyerahkan semula tugas kpd Ust Shafirol.
-TAMMAT-

23 December 2009

NAK UJI KEHANDALAN ANDA? JOM PI MUKHAYYAM..

MENARIK, antara aktiviti yang akan peserta ikuti dalam Mukhayyam Pemuda 2009 kali ini, 'Combat War'.
Boleh hubungi Ust Mat Taliban untuk maklumat lanjut.
Rugi kalau tak pi!!!

Dengar Sendiri Dari YB Ust Hashim Jasin.

Dengar sendiri dari YB Ust Hashim Jasin tentang isu-isu semasa berkaitan tarbiyah dalam Mukhayyam Pemuda 2009 pada 25/12/09 Jumaat ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Syura Ulamak PAS serta Pesuruhjaya PAS Perlis adalah antara penceramah yang dijemput khas untuk membentangkan tajuk "Kewajipan Berjemaah, Ciri-ciri Jemaah Islam, dan Sejarah Ringkas PAS" dalam Mukhayyam Pemuda kali ini.

JANGAN KETINGGALAN!

20 December 2009

MUKHAYYAM PEMUDA 2009

Gambar Atas: Lokasi Mukhayyam, Lata Daun, Sg Tengas.

Semua kepimpinan Pemuda PAS Pulau Pinang diWAJIBKAN mengikuti Mukhayyam Pemuda 2009 seperti butiran berikut:-

Tarikh:-
25-27 Disember 2009
Jumaat - Ahad

Tempat:-
Lata Daun, Sg. Tengas, Kulim Bandar Bharu, Kedah.

Penglibatan:-
1. Semua EXCO DPPN
2. Semua EXCO DPPK
3. Semua AJK Lajnah DPPN
4. Semua AJK Lajnah DPPK
5. Semua AJK Pemuda Cawangan
6. Ahli-ahli pemuda yang komited

Antara aktiviti menarik:-
1. Pembentangan kertas kerja oleh tokoh-tokoh terkemuka PAS.
2. Futsal 'Bola Api'.
3. Kembara Mujahid.
4. Show Time.
5. Paintball
6. Permainan dalam kumpulan


Sahabat-sahabat dikehendaki menghubungi:-
1. Mana-mana AJK Jabatan Tarbiyah & Latihan Kepimpinan, atau;
2. Ketua Pemuda DPPK masing-masing. atau;
3. Ketua Lajnah Tarbiyah DPPK masing-masing.

Yuran Penyertaan:-
RM20 sahaja / seorang